Header Ads

Utara: Pelukis OKU ukir nama di New York

Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar, bhnews@bharian.com.my

Anak kelahiran Kedah bekerja sebagai pereka grafik, jurugambar sambilan


GEORGETOWN: Walaupun bisu dan pekak, namun kecacatan tidak menghalang pelukis, Leon Lim, 29, untuk berjaya dan mengukir nama hingga ke peringkat antarabangsa.

Anak kelahiran Kedah itu berhijrah ke Pulau Pinang pada usia 11 tahun dan meneruskan persekolahan di Sekolah Kanak-Kanak Pekak di Tanjung Bungah di sini.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian selepas menerima biasiswa di Institut Teknologi Rochester, New York, Amerika Syarikat yang mempunyai 15,000 pelajar, sebahagiannya pelajar cacat pendengaran.

Leon akhirnya berjaya menempa nama selepas bekerja sebagai pereka grafik dan web serta jurugambar sambilan dengan sebuah majalah fesyen dan kini menetap di New York.

"Saya kembali ke Pulau Pinang dalam rangka lawatan ke Korea untuk menyertai pameran hasil lukisan kontemporari di Muzium Seoul, Korea Selatan bermula 22 Julai hingga 25 Ogos ini," katanya ketika ditemui di Pusat Warisan Pulau Pinang, Lebuh Acheh di sini, semalam.

Ketibaan Leon disambut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Law Heng Kiang.

Leon kini sedang menjalankan kajian untuk memperluaskan pengetahuan mencakupi bidang seni lukis, arkitek lama, kraf dan tradisi di bandar ini.

"Saya mampu mendedahkan mengenai pembangunan pesat yang berlaku sejak 50 tahun lalu menerusi bidang seni kontemporari," katanya.

Beliau turut bercadang untuk menganjurkan pameran dan persidangan mengenai seni lukis kontemporari mengenai sejarah bandar Georgetown bagi memberikan pendedahan kepada orang ramai khususnya rakyat negeri ini dan sedang berusaha mendapatkan pembiayaan bagi menampung kos projek itu.

via Berita Harian Online


No comments

Powered by Blogger.