Header Ads

OKU dibantu dapat kerja sektor awam

Salam sejahtera,

Berlampiran dengan borang maklumat pencari kerja OKU. Borang tersebut juga boleh didapati di www.jkm.gov. my.

Aqlam

"Thank you to Mr. Aqlam" - Selina

------------------------------------------------------------------------------------------------

OKU dibantu dapat kerja sektor awam

Oleh Nor Azma Laila

Borang khas maklumat, nilai kelayakan disediakan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil langkah proaktif untuk membantu orang kurang upaya (OKU) memperoleh pekerjaan dalam perkhidmatan awam dengan mewujudkan Borang Maklumat Pencarian Kerja OKU.


Ketua Setiausahanya, Datuk Faizah Mohd Tahir, berkata borang itu adalah untuk mengumpul maklumat OKU bagi memudahkan peluang penempatan pekerjaan oleh agensi kerajaan yang dilantik, antaranya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Usaha yang juga membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ini juga selaras dengan Pelaksanaan Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Sektor Awam kepada OKU.

Dasar yang diwujudkan sejak 1988 itu bertujuan memastikan OKU yang berpotensi dan berkelayakan tidak dipinggirkan dalam mendapat peluang pekerjaan di sektor awam, katanya pada sidang media penyerahan borang berkenaan kepada beberapa persatuan OKU, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Meme Zainal Rashid dan Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Yuswan Yunus.

Faizah berkata, melalui maklumat yang diperoleh daripada borang berkenaan, JKM dapat mengenal pasti jumlah OKU yang mempunyai kelayakan dan akan diberi khidmat nasihat mengenai jenis pekerjaan yang sesuai berdasarkan kelayakan serta jenis kecacatan yang dialami.

Bagaimanapun, tindakan untuk menempatkan OKU mengikut kelayakan dan jenis pekerjaan yang diminati bergantung kepada SPA dan kekosongan di sesebuah organisasi.

Kita di JKM cuma membantu memudahkan urusan OKU untuk memohon pekerjaan selain memberi cadangan supaya mempertimbangkan permohonan mereka, katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod SPA, pembabitan OKU secara keseluruhan dalam perkhidmatan awam sehingga April 2008 hanya 0.22 peratus atau 581 OKU selain 1.77 peratus atau 92 OKU daripada 5,179 orang yang berkhidmat di JKM.

Beliau berkata, bilangan kakitangan OKU di JKM sudah melebihi peratus yang ditetapkan dan pihaknya kini mensasarkan peratusan itu dalam perkhidmatan awam lain dalam tempoh terdekat.

Katanya, borang itu yang antara lain memerlukan OKU mengisi maklumat peribadi, kelayakan akademik dan pengalaman kerja boleh didapati pada laman web kementerian dan agensi berkaitan seperti JKM, Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

OKU juga boleh mendapatkan borang berkenaan di pejabat JKM negeri dan daerah, LPPKN negeri, klinik LPPKN dan di suruhanjaya terbabit iaitu di SPA, SPP, JPA, dan JTK, katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bantuan Haiwan untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Tua, Anthony Siva Balan Thanasayan, berkata usaha itu adalah langkah baik untuk membantu OKU mendapatkan pekerjaan terutama dalam sektor awam.

Berita Harian - 28 June 2008


No comments

Powered by Blogger.