Header Ads

17 jun 2008 ( Berita Harian )

Kelayakan elaun OKU naik RM1,200
BANGI: Had kelayakan penerima elaun bantuan orang kurang upaya (OKU) yang sebelum ini ditetapkan kepada mereka yang berpendapatan sekitar RM750 sebulan, kini dinaikkan kepada RM1,200 sebulan, bagi membolehkan lebih ramai golongan itu menerima bantuan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beban ditanggung golongan itu ekoran kenaikan harga minyak dan barangan keperluan lain.

Beliau berkata, elaun bantuan RM300 buat semua penerima mengikut had kelayakan baru itu sudah disampaikan bulan lalu, dan menurutnya ia diharap bukan sahaja dapat mengurangkan beban mereka, malah membolehkan mereka berdikari di samping tidak berasa tertekan dengan keadaan dihadapi sekarang.

“Mereka perlu berdaftar dengan kementerian dan mengemukakan bukti seperti slip gaji bagi membolehkan mereka menerima elaun bantuan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang peringkat kementeriannya di sini semalam.

Sementara itu, Dr Ng berkata, ekoran kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan, baru-baru ini pihaknya juga sudah memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menaikkan elaun bantuan buat OKU dan golongan miskin yang bekeluarga yang didapati tidak mampu bekerja, daripada RM400 kepada RM700 sebulan. - Bernama

Bagaimanapun menurutnya perkara itu masih belum diputuskan sehingga ini.

Sementara itu Dr Ng berkata sehingga kini rekod OKU yang berdaftar dengan pihak kementerian dianggarkan hampir 220,000 orang dan beliau berharap lebih ramai OKU akan tampil mendaftar dengan kementerian itu supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka.

Beliau berkata tempoh pemberian elaun kepada golongan OKU yang bekerja adalah selama setahun, manakala bagi yang langsung tidak boleh bekerja, akan dibantu buat selamanya.

Dr Ng berkata pada 2007 pihaknya memperuntukkan RM1.5 juta untuk golongan miskin dan OKU, dengan 150,000 buah keluarga dari seluruh negara menerimanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Ng berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi jaminan akan terus membantu golongan warga emas yang miskin serta terpinggir dalam negara.

“Satu program yang dinamakan ’Program Cari-Cari’ akan diadakan akhir bulan ini untuk mengesan warga emas yang belum berdaftar dengan pihak kementerian, agar bantuan dapat disalurkan kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, 435 orang pegawai dan kakitangan dari kementerian itu dan agensi di bawahnya menerima anugerah perkhidmatan cemerlang bagi tahun 2007. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.