Header Ads

Banyak keistimewaan untuk OKU

The article below is from the Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat website:

Banyak keistimewaan untuk OKU

WALAUPUN kerajaan menganggarkan terdapat kira-kira 1.3 juta orang kurang upaya (OKU) di negara ini, tetapi setakat ini hanya 233,939 orang sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon baru-baru ini berkata, statistik itu tidak memberi gambaran sebenar OKU di negara ini.

Jumlah yang rendah ini menyebabkan kerajaan menghadapi sedikit masalah dari segi perancangan dasar membela OKU secara menyeluruh.

Kementerian telahpun menubuhkan Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya yang dipengerusikan Menteri berkenaan, Datuk Dr. Ng Yen Yen bagi menyelia, menyelaras dan memantau pelaksanaan dasar negara yang berkaitan OKU terutama Akta Orang Kurang Upaya yang diwartakan 7 Ogos tahun lepas.

Mungkin kesedaran masih kurang dalam kalangan OKU dan anggota keluarga mereka mengenai hak dan keistimewaan yang boleh mereka dapatkan dari segi kemudahan kesihatan, pelajaran, penerangan, komunikasi dan teknologi, aktiviti bersukan, riadah dan kebudayaan.

Sebenarnya, bagi setiap OKU yang ingin memperoleh kemudahan dan bantuan yang disediakan JKM, agensi-agensi kerajaan atau swasta, mereka hanya dikehendaki mendaftar untuk mendapatkan Kad Kenal Diri OKU sebagai satu perakuan yang sah bahawa mereka memang orang kurang upaya.

Kad ini hanya boleh diperoleh dengan mendaftarkan diri di Pejabat JKM Daerah di tempat tinggal OKU berkenaan dengan perakuan doktor.

Kad terbahagi kepada enam jenis warna mengikut kategori ketidakupayaan iaitu penglihatan (biru), pendengaran (ungu), fizikal (hijau), cerebral palsy (merah), masalah pembelajaran (kuning) dan lain-lain (oren)..

Tujuan pendaftaran dengan JKM adalah untuk mengumpul data atau statistik bagi maksud perancangan perkhidmatan atau program pemulihan, pencegahan, latihan dan pendidikan serta intervensi awal.

Walaupun pendaftaran adalah atas dasar sukarela, ia seharusnya digalakkan bagi OKU mendapatkan segala kemudahan dan insentif yang disediakan bukan sahaja oleh pihak kerajaan, tetapi juga swasta.

Keistimewaan kepada OKU

Pelbagai keistimewaan yang disediakan kementerian dan agensinya untuk OKU akan mudah disalurkan kepada OKU yang berdaftar. Umpamanya Kementerian Pelajaran di bawah Jabatan Pendidikan Khas menyediakan program khas kepada kanak-kanak daripada kategori kurang upaya penglihatan, pendengaran dan bermasalah pembelajaran.

Program pendidikan dijalankan di sekolah pendidikan khas dan melalui program integrasi di sekolah biasa. Kerajaan juga mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar kurang upaya pendengaran yang mengikuti latihan kemahiran di institusi pengajian di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.

Bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mereka diberi elaun khas bulanan sebanyak RM300. Kemudahan ini adalah di bawah kelolaan Kementerian Penggajian Tinggi.

Pelajar kurang upaya di sekolah rendah dan sekolah menengah pula diberikan elaun sebanyak RM150 sebulan. Kemudahan ini di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Khas.

Program pengesanan awal

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan turut menjalankan Program Pengesanan Awal dalam memberi rawatan dan pemeriksaan untuk kemasukan ke institusi kebajikan.

Jabatan Pendidikan pula menyediakan pendidikan bagi kanak-kanak berkeperluan khas seperti kurang upaya penglihatan, kurang upaya pendengaran dan masalah pembelajaran melalui tiga program.

Program itu ialah sekolah khas, program integrasi dan program inklusif di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

Bagi Jabatan Tenaga Kerja pula, ia menggalakkan pihak swasta menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan OKU melalui Jawatankuasa Penggalakkan Penggajian Orang Kurang Upaya di sektor swasta.

Pengecualian cukai jalan

Menurut JKM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga menyediakan kemudahan pengecualian cukai jalan bagi orang kurang upaya fizikal yang menggunakan kenderaan kereta, van dan motosikal buatan tempatan mulai tahun 2004.

JKM juga sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat pengangkutan supaya memberi tambang konsesi kepada OKU.

Sehingga kini terdapat beberapa syarikat pengangkutan memberi insentif pengangkutan kepada golongan kurang upaya. Antaranya ialah Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) yang memberi tambang murah sehingga 50 peratus bagi penerbangan dalam negeri, manakala Keretapi Tanah Melayu Berhad memberi tambang konsesi sehingga 50 peratus bagi semua kelas perjalanan.

Syarikat bas Transnasional juga memberi konsesi 50 peratus dari harga tambang dan syarikat pengangkutan RapidKL memberi kemudahan tambang percuma kepada golongan kurang upaya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga menyediakan kemudahan kepada OKU bagi menyewa rumah-rumah kos rendah atau rumah pangsa DBKL dengan memberi pengurangan kadar sewa kepada kumpulan ini.

Sementara itu, Syarikat Perumahan Nasional Negara (SPNB) memberi diskaun sebanyak 20 peratus kepada golongan OKU berpendapatan rendah untuk memperoleh rumah kos rendah dan sederhana.

Golongan OKU turut dikecualikan daripada bayaran rawatan di hospital atau pusat perubatan awam di negara ini, manakala Jabatan Imigresen mengecualikan bayaran ke atas perkhidmatan menyedia dan memproses dokumen perjalanan (pasport antarabangsa).

Dengan segala kemudahan ini, agak rugi jika ramai OKU tidak mendaftarkan diri dan mengecualikan diri mereka daripada dibela.
-
Bernama
http://www.kpwkm. gov.my/new_ index.php? page=news_ content&newsID=493〈=malay

6 comments:

  1. Anonymous4:23 PM

    saya membeli kereta toyota second hand tetapi tidak dapat pengecualian cukai jalan.Saya harap pihak kerajaan memperluaskan lagi pengecualian cukai jalan kepada kereta luar negara untuk kemudahan oku.Pengecualian cukai jalan kepada kereta luar negara akan dapat memberi pilihan yang lebih besar kepada oku.

    ReplyDelete
  2. Kamu boleh dapat pengecualian cukai jalan dari kerajaan jika Kamu boleh buat rayuan walaupun kamu ialah OKU fizikal.

    Saya adalah pekak tetapi tak dapat pengecualian cukai sejak saya ada kerata sendiri :(

    ReplyDelete
  3. mohamad fazlim2:04 PM

    mohamad fazlim b shaari
    tel : 03 - 2692 2735

    saya seorang orang kurang upaya berkerusi roda , bekerja sbg kerani di sebuah syarikat swastar di kg baru kuala lumpur menghadapi membeli rumah kos rendah Tingkat bawah ) untuk oku ..tp sukar untuk mendapatnya kerana telah dipenuhi oleh orang normal

    ReplyDelete
  4. Hmm, saya tak pernah pergi di sana. Kamu cuba tengok di http://www.jkm.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=575:kemudahan-dan-keistimewaan-kepada-oku-yang-berdaftar&Itemid=98&lang=ms

    Kamu cuba hubungi mereka dari www.jkm.gov.my?

    ReplyDelete
  5. Anonymous12:34 PM

    saya pernah baca Akta Orang Kurang Upaya, saya ingat akta itu kata akan kecualikan cukai jalan kepada OKU yang memiliki kereta buatan Malaysia namun cukai jalan akan dikenakan kepada OKU yang memiliki kereta buatan luar negara sebab kerajaan ingin OKU selalu fokus di Malaysia~ saya hairan betul mengapa ya? entahlah~

    ReplyDelete
  6. Anonymous1:59 AM

    Helo Selina, saya adalah OKU pekak. Adakah OKU pekak dapat diskaun membeli tiket kapal terbang MAS? Kalau terdapat diskaun..adakah diskuan itu hanya perjalanan domestic..atau ke luar neagra? terima kasih.

    ReplyDelete

Powered by Blogger.