Header Ads

Kecacatan Bukan Penghalang Tengku Arman Untuk Berjaya

27 Mei, 2008 11:16 AM
Oleh Tuan Azam Johan dan Eo Pee See

KUALA TERENGGANU, 27 Mei (Bernama) -- Golongan orang kurang upaya
(OKU) kini bukan sahaja mampu menonjolkan kejayaan mereka sebagai
penjawat awam malahan dalam bidang keusahawanan.

Golongan ini dilihat begitu gigih serta memiliki kesabaran yang tinggi
apabila menceburi satu-satu bidang, seolah-olah kecacatan bukan
penghalang untuk mengecapi kejayaan.

Bagi Tengku Arman Harris Tengku Ismail, 36, yang cacat pendengaran,
kegigihan dan ketabahannya menjadikan beliau antara usahawan OKU yang
berjaya dalam perusahaan membuat batik sutera di Terengganu.


Menceritakan pengalaman sebelum menceburi perusahan berkenaan sejak 10
tahun lepas, beliau mula bekerja sebagai pengimpal di sebuah bengkel
kenderaan di Kuala Lumpur pada 1990 selepas menamatkan persekolahan di
Sekolah Menengah Pendidikan Khas di Pulau Pinang dan Sekolah Menengah
Vokasional di Shah Alam, Selangor.

Setahun selepas bekerja di ibu kota, beliau yang merupakan anak sulung
daripada enam beradik terpaksa pulang ke Terengganu untuk
mengambilalih tugas sebagai ketua keluarga selepas kematian bapanya,
yang terkorban dalam nahas jalan raya.

TIMBA ILMU

Mengimbas pengalamannya dalam industri pembuatan batik sutera, Tengku
Arman mula bekerja di kilang Romi Batik di Chendering di sini, pada
1991 serta sebuah syarikat batik di Batu Burok, selama beberapa tahun
sebelum membuka syarikatnya sendiri.

Menurut ibunya, Wan Zaitun Wan Mansur, 59, semasa bekerja di dua
tempat berkenaan, Tengku Arman mempelajari pelbagai cara pembuatan
batik sehingga 1996 sebelum membuka sendiri syarikatnya iaitu Arman
Batik di rumahnya di Kampung Tebauk di sini.

Zaiton, yang merupakan jurubahasa isyarat anaknya, berkata dengan
keazaman untuk berjaya dalam industri tersebut, Tengku Arman
mendirikan sebuah bangsal berhampiran rumahnya, dengan mengusahakan
pembuatan batik secara kecil-kecilan. Berbekalkan bakat dan kebolehan
anaknya, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu
telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM2,000 kepada Tengku Arman
untuk mengembangkan perusahaannya.

Beliau berkata, setelah perusahaan anaknya itu menampakkan kejayaan,
Tengku Arman memohon pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Majlis Amanah
Rakyat (Mara) dan perusahaannya bertambah maju sehingga mampu membayar
balik pinjaman dalam tempoh yang singkat.

DUA KEDAI BATIK

"Saya rasa puas apabila Tengku Arman dapat menyelesaikan pinjaman Mara
dalam tempoh yang singkat kerana ia memberi keyakinan kepada Mara
untuk memberi pinjaman kepada golongan sepertinya pada masa akan datang.

"Ini kerana, agak sukar bagi golongan OKU untuk menceburi bidang
perniagaan kerana terdapat segelintir masyarakat yang memandang serong
terhadap mereka," kata Wan Zaitun.

Tengku Arman berkata selain dibantu isterinya, Azizah Md Yassin, 32,
yang juga cacat pendengaran, beliau mempunyai tiga pekerja bagi
membantunya mencating kain-kain batik.

Atas usaha gigihnya, Tengku Arman kini boleh berbangga kerana memiliki
dua buah kedai batik sutera iaitu "Anas Butik" di Subang Jaya, yang
diurus oleh diknya. Katanya, beliau menghasilkan kain-kain batik
sutera dengan dua kaedah iaitu melalui blok serta mencating dan ia
dijual antara RM200 dan RM400 sepasang.

TOKOH OKU

"Gerai musim perayaan, saya akan mengambil ruang di Subang Parade
untuk menjual kain-kain batik sutera saya dan alhamdulillah, sambutan
yang diterima sangat baik," katanya.

Tengku Arman yang mendirikan rumahtangga dengan Azizah sejak tiga
tahun lepas dan belum dikurniakan cahaya mata, berkata beliau sering
berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk menghantar kain-kain batik sutera
yang dihasilkannya.

Katanya, beliau berhasrat untuk memperluaskan lagi perniagaannya dan
bercita-cita untuk membuka sebuah kedai di sini, tidak lama lagi.

Kesungguhan Tengku Arman dalam industri itu mendapat pengiktirafan dan
beliau merupakan Presiden Persatuan Kebajikan Orang Cacat Pendengaran
Terengganu (PKOCPT) yang pertama sejak ia ditubuhkan pada 2001.

PKOCPT mencapai kegemilangan di bawah kepimpinan Tengku Arman apabila
diiktiraf sebagai persatuan OKU terbaik Terengganu sempena Hari Orang
Kurang Upaya peringkat negeri anjuran JKM pada 2003.

Kebolehan dan pencapaian Tengku Arman itu juga telah melayakkan beliau
menerima pengiktirafan termasuk sebagai Tokoh OKU Bahagian Ekonomi
pada 2007 dan Tokoh OKU Keseluruhan pada 2005.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.