Header Ads

Cacat pendengaran tak halang Firdaus cemerlang

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH: Walaupun cacat pendengaran, ia bukan penghalang bagi Mohd Firdaus Mat Resid, 24, dari Maran, Pahang untuk menyambung pengajian di Politeknik Ungku Omar (PUO) dan terpilih menerima Anugerah Projek Pelajar 2007 sempena Majlis Konvokesyen Ke-37 PUO.

Anak kelima daripada enam adik-beradik itu, menerima anugerah berkenaan atas kecemerlangan pembentangan projek bertajuk E-Halal yang ditugaskan oleh Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) untuk kerja kursus projek akhir Diploma Teknologi Maklumat (DIT) sesi Januari 2007.


Penyelaras Pendidikan Khas PUO, Low Gaik See berkata, Mohd Firdaus adalah pelajar orang kurang upaya (OKU) pertama mengambil kursus DIT dan berjaya memperoleh Himpunan Purata Nilai Gred (CGPA) 3.28 mata.

"Kami berbangga dengan kejayaan Mohd Firdaus kerana beliau tidak pernah menunjukkan rasa jemu dalam mencari ilmu, malah rajin bertanyakan soalan kepada pensyarah dan rakan supaya tidak ketinggalan dalam pelajarannya," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen PUO di sini, kelmarin.

Low berkata, Mohd Firdaus belajar sekelas dengan pelajar normal dan jika tidak faham serta ingin bertanyakan soalan, beliau akan berkomunikasi secara bertulis atau meminta bantuan saya jika ada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Katanya, pelajar itu bukan saja cemerlang dalam akademik malah bergiat aktif dalam kegiatan luar sehingga dilantik menjadi Presiden Persatuan Orang Pekak Pahang.

Sementara itu, ibu Mohd Firdaus, Ragayah Dahan, 58, bersyukur serta berbangga atas kejayaan anak lelakinya dan berdoa supaya Mohd Firdaus menjadi masyarakat yang berguna kepada bangsa dan negara.

"Saya tidak menyangka Mohd Firdaus mampu memperoleh kejayaan cemerlang sama seperti pelajar normal lain,” katanya sambil menambah anaknya itu hilang deria pendengaran selepas mengalami demam panas ketika berusia sembilan tahun.

Anak yatim yang kehilangan bapa ketika berusia 12 tahun ini kini bertugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh di Bahagian Hal Ehwal Sosial.

Sementara itu, pada majlis yang sama, tiga pelajar, dua dari Jabatan Perdagangan (JP) dan seorang dari JTMK dipilih menerima Anugerah Pengarah iaitu anugerah tertinggi atas kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Penerima anugerah itu, bagi sesi Januari 2007, Noorsyafila Zulkafli, 22, dari Sungai Siput mengambil kursus DIT memperoleh CGPA 3.74 mata dan Taranjit Kaur Joginder Singh, 23, dari Pokok Assam, Taiping mengambil kursus Sijil Pengajian Perdagangan memperoleh CGPA 3.76 mata.

Seorang lagi penerima anugerah yang sama tetapi bagi sesi Julai 2007 adalah Norhayati Saad, 26, dari Yan, Kedah. Beliau yang mengambil kursus Diploma Kewangan dan Perbankan memperoleh CGPA 3.83 mata.

Mereka menerima wang tunai RM500 sumbangan Alumni PUO, trofi, sijil dan hadiah iringan.

Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 3,279 graduan daripada enam jabatan berjaya memperoleh sijil atau diploma.

Pada sidang pertama semalam seramai 758 graduan dari dua jabatan iaitu JTMK dan JP menerima sijil atau diploma yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Omar Abdul Rahman.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/EdisiWilayah/20080402073455/Article/index_html

Tahniah kepada Mohd Firdaus Mat Resid!

1 comment:

  1. Anonymous7:27 PM

    jemput memeriahkan forum pelajar dan alumni Politeknik Seluruh Malaysia di http://www.mypolycampus.net/v20/index.php

    ReplyDelete

Powered by Blogger.